Friday, November 26, 2010

Hak Muslimah: Bekas suami tiada alasan elak nafkah anak


SEMOGA anda diredai Allah serta cekal mendidik anak menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat.
Menurut hukum syarak, orang berkewajipan menyara nafkah anak adalah bapa dan bukannya ibu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada
ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Antara lain ia bermaksud, bapa wajib membiayai nafkah anaknya dengan sebab kelahiran anak dinasabkan kepada bapa itu melalui akad nikah sah di antara ibu dan bapanya. Ia juga berdasarkan firman Allah yang
bermaksud: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya." (Surah al-Talaq, ayat 6)

Al-Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbani dalam Mughni Al-Muhtaj menghuraikan pengertian ayat itu sebagai, "bahawa membayar upah bagi menyusukan anak itu termasuk juga sebagai kewajipan memberi nafkah kepada anaknya."

Seksyen 72 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (selepas ini dirujuk sebagai 'Akta 303') memperuntukkan, bapa bertanggungjawab menanggung nafkah anaknya sama ada ia berada di bawah jagaannya atau jagaan orang lain termasuk menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, pelajaran dan sebagainya secara munasabah bergantung kepada kemampuan bapa.

Tidak timbul isu sama ada anak di bawah jagaan sendiri atau orang lain, bekas suami tetap bertanggungjawab menanggung nafkah anak. Seksyen 73 (1)(a) Akta 303 pula memperuntukkan, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah anaknya pada bila-bila masa jika dia enggan atau abai memberikan nafkah munasabah kepada anaknya.
Isu bekas suami akan menuntut hak jagaan kerana puan tidak berkemampuan menyara mereka, tidak relevan. Hak jagaan akan hilang jika anda hilang kelayakan menjaga anak seperti mengabaikan kebajikan mereka, menjalani kehidupan tidak mengikut lunas Islam dan alasan lain digariskan hukum syarak.

Alasan bekas suami sebenarnya hendak menghalang anda memperoleh perintah kekal nafkah anak yang akan mengikatnya melaksanakan perintah itu.

Pernyataan tuntutan perlu menghuraikan anggaran perbelanjaan bulanan anak merangkumi makan minum, pakaian, perubatan, persekolahan dan kebajikan mereka. Setiap perbelanjaan perlu disokong dengan resitpembayaran serta saksi yang mengetahui berkaitan tuntutan bagi menguatkan keterangan di mahkamah kelak.
Namun, nafkah anak tidak mempunyai kadar tertentu. Ia berdasarkan konsep cukup menurut adat kebiasaan dan kemampuan pemberi nafkah.

Firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberikan nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya." (Surah al-Talaq, ayat 7)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa Hindun Uthbah berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut. Dia tidak memberi perbelanjaan kepadaku dan anakku kecuali setakat apa yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya." Sabda Rasulullah SAW kepada Hindun: "Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Al-Sayyid al-Bakri dalam I'aanah al-Talibin menghuraikan maksud hadis sebagai, "wajib memberi makan kepada anak sekadar yang cukup kenyang bagi kesempurnaan hidup dan tidak wajib berlebih sangat atau sampai kepada kemewahan yang berlebihan. Selain makan minum dan pakaian termasuk juga perubatan, persekolahan dan sebagainya."

INFO
Peruntukan undang-undang
Seksyen 72 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (dirujuk sebagai 'Akta 303') memperuntukkan, bapa bertanggungjawab menanggung nafkah anak sama ada ia berada di bawah jagaannya atau jagaan orang lain termasuk menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, pelajaran dan sebagainya secara munasabah bergantung kepada kemampuan bapa.
 
Seksyen 73(1)(a) Akta 303 pula memperuntukkan, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah anaknya pada bila-bila masa jika dia enggan atau abai memberikan nafkah
munasabah kepada anaknya. Berdasarkan nas dan peruntukan undang-undang itu, bekas isteri boleh memohon nafkah anak di mahkamah.

1 comment: