Friday, November 26, 2010

Kewajipan Nafkah: Antara Mahkamah Dunia dengan Mahkamah Akhirat


Oleh HASNAN KASAN
Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysia

MANUSIA dilahirkan di dunia oleh Allah Taala sebagai satu ujian
kelayakan menerima ganjaran syurga Allah Taala di akhirat. Tidak ada
seorang manusia yang melalui kehidupan dunia tanpa sebarang ujian.
Ujian Allah di dunia ini kadang-kadang datang dalam bentuk kewajipan
yang perlu dilaksanakan, kadang-kadang dalam bentuk amanah yang perlu
ditunaikan dan kadang-kadang dalam bentuk kesusahan yang perlu
dijalani dengan kesabaran. Ujian-ujian yang diberikan oleh Allah
dalam berbagai-bagai bentuk ini bukanlah sebagai satu beban kepada
manusia. Tetapi ia adalah sebagai satu ruang atau peluang untuk
manusia membuktikan kecemerlangan di hadapan Allah sebagai pelajar
sekolah menduduki peperiksaan.

Begitu juga lumrah kehidupan berkeluarga. Setiap ahli keluarga
mempunyai peluang menduduki ujian Allah Taala dalam bentuk yang
tertentu. Suami diuji oleh Allah dengan kewajipan menyara dan
membiayai dan mendidik keluarga. Isteri diuji oleh Allah dengan
kewajipan taat kepada suami, menjaga maruah suami dan menghadhanah
anak-anak dengan sempurna. Anak-anak pula diuji oleh Allah dengan
taat dan menghormati ibu bapa serta menjaga kebajikan mereka apabila
sudah tua dan tidak berupaya.

Suami dan bapa diberi peluang oleh Allah untuk menunjukkan
kecemerlangan dalam menunaikan kewajipan kekeluargaan. Kewajipan
utama yang perlu dilaksanakan oleh suami dan bapa ialah menyara atau
membiayaai keperluan-keperluan asasi ahli keluarga dengan sempurna
merangkumi makan minum, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan
rawatan kesihatan apabila diperlukan. Ini adalah satu kewajipan agama
yang ditetapkan oleh Allah dan disampaikan melalui Rasulullah s.a.w.
Kewajipan ini mengandungi nilai agama Allah. Menunaikannya akan
diberikan ganjaran pahala dan syurga, manakala mengabaikannya akan
menerima balasan dosa dan neraka. Inilah beza antara bapa dengan
suami Muslim dengan bapa dan suami bukan Muslim. Suami dan bapa
Muslim menunaikan kewajipan menyara dan membiayai keluarga dengan
semangat agama dan mengharapkan ganjaran daripada Allah Taala.
Manakala bapa atau suami bukan Muslim menyara keluarga hanya kerana
perasaan sayang, belas kasihan atau paksaan undang-undang. Suami dan
bapa Muslim yang melaksanakan tuntutan nafkah hanya kerana tiga sebab
iaitu sayang, kasihan, dan paksaan undang-undang adalah mengalami
kerugian kerana tidak mendapat redha dan ganjaran Allah kerana tidak
menunaikannya dengan roh agama.

Semangat agama dalam menyempurnakan kewajipan membiayai atau memberi
nafkah kepada ahli keluarga ini jelas terpapar melalui beberapa
noktah penting:

1. Kewajipan nafkah bagi keluarga muslim adalah sabit dengan nas
syarak, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Hukum wajib yang telah
ditetapkan oleh nas ini adalah termasuk dalam lima hukum taklif dalam
syariat Islam iaitu wajib, sunat, harus, makruh, dan haram. Mematuhi
hukum taklif ini dengan ikhlas akan menerima ganjaran syarak iaitu
pahala dan syurga. Dalam ilmu usul, apabila sesuatu hukum itu
diputuskan oleh nas al-Quran dan al-Sunnah serta dipersetujui oleh
para ulamak secara ijmak maka ia menunjukkan perkara itu adalah
termasuk dalam keperluan ´daruri´. Apabila ia tidak ditunaikan, maka
kehidupan orang berhak menerimanya. Antara nas al-Quran yang
mensabitkan kewajipan nafkah ini ialah firman Allah dalam surah al-
Baqarah ayat 233 yang bermaksud:

"Dan ke atas bapa yang isteri melahirkan anak baginya hendaklah
memberikan nafkah makan minum dan pakaian isterinya itu."

2. Rasulullah s.a.w, melalui beberapa hadis menjelaskan kelebihan dan
ganjaran yang diperolehi oleh suami dan bapa yang bekerja dan
berusaha menunaikan keperluan keluarga. Rasulullah tidak bertutur
kecuali dengan wahyu yang diilhamkan oleh Allah. Maka saranan dan
galakan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w ini juga adalah galakan
dan saranan syarak yang hakikatnya datang daripada Allah Taala.
Antara hadis-hadis yang menyentuh perkara ini ialah:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

Maksudnya: "Antara dosa-dosa ada yang tidak akan diampunkan melainkan
dengan bekerja dalam mencari rezeki." (Diriwayatkan oleh Tabrani, Abu
Nuáim dan Al-Khatib)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a:

Maksudnya: "Sesiapa yang berpetang-petangan dalam keadaan letih
disebabkan oleh kerja yang dilakukan oleh kedua tangannya maka dia
berpetang-petangan dalam keadaan diampunkan dosanya." (Diriwayatkan
oleh Tabrani)

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah:

Maksudnya: "Sesungguhnya di kalangan dosa-dosa itu ada dosa-dosa yang
tidak akan dibersihkan oleh puasa, sembahyang dan tidak juga oleh
haji dan umrah." Baginda ditanya: "Kalau begitu apakah yang dapat
membersihkannya wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Berpenat lelah
dalam mencari rezeki untuk hidup." (Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir dan
Abu Nuáim).

Kerja dan usaha mencari rezeki untuk menyara dan memenuhi keperluan
keluarga dijadikan oleh Rasulullah s.a.w sebagai salah satu sebab
dosa-dosa diampunkan. Inilah nilai keagamaan yang mulia dalam urusan
mencari rezeki untuk menyara keluarga. Kalau begitu nilainya,
bagaimana suami dan bapa boleh memandang remeh dan tidak memberikan
perhatian dalam menanganinya. Rasulullah s.a.w memberikan gambaran
menyara dan membiayai keluarga ini adalah lubuk yang paling lumayan
untuk mendapat ganjaran terutama mendapat keampunan daripada Allah
Taala.

Di samping nilai-nilai keagamaan yang terdapat dalam usaha memberi
nafkah dan membiayai keluarga, nafkah juga memberi impak sosial yang
negatif sekiranya tidak ditangani oleh sempurna. Antara impak sosial
yang telah berlaku dalam masyarakat kita ialah:

1. Bapa atau suami dipandang hina oleh masyarakat kerana tidak
bertanggungjawab.

2. Isteri atau anak terpaksa meminta-minta daripada orang lain samada
secara terus atau melalui media massa seperti surat khabar dan
televisyen. Perbuatan ini akan menjatuhkan maruah manusia dan
keluarga.

3. Anak-anak akan rasa rendah dan hina diri apabila membandingkan
dirinya dengan rakan-rakan lain yang mendapat pembiayaan yang
sempurna. Kesan jiwanya ini amat mendalam yang boleh mengakibatkan
kesan buruk terhadap pelajaran dan perkembangan hidup anak-anak. Ada
antara mereka yang memaksa diri sendiri untuk berhenti sekolah untuk
bekerja mencari rezeki sebelum masa yang sepatutnya.

4. Isteri terpaksa berhempas pulas mencari rezeki sepanjang hari
tanpa mengira siang atau malam. Ini memberi kesan kepada perhatian
dan bimbingan terhadap anak-anak. Isteri juga sebagai ibu tidak
sempat memberikan perhatian kepada anak-anak kerana sibuk kerja
mencari rezeki. Akhirnya, anak-anak kehilangan bimbingan dan
seterusnya terjebak ke penyelewengan akhlak.

5. Isteri atau anak anak terlibat dengan kegiatan jenayah seperti
menjual dadah dan pelacuran untuk mencari sumber pendapatan demi
untuk menyara keluarga.

6. Tidak kurang juga tanpa nafkah dan pembiayaan yang mencukupi
menyebabkan ada ibu yang beragama Islam menyerahkan anak kepada pihak
gereja Kristian untuk dijaga.

Walaupun begitu besar kepentingan memberi nafkah dan membiayai
keluarga serta begitu mulia nilainya di sisi agama, tetapi masih
kedapatan juga suami atau bapa yang tidak menghiraukan perkara ini.
Kadang-kadang mereka dengan sengaja tidak membiayai keperluan
keluarga tanpa rasa bersalah. Ada juga bapa atau suami yang tidak
bijak menggunakan rezeki sehingga kehabisan sebelum sempat digunakan
untuk membiayai keperluan asas keluarga.

Oleh kerana kedapatan suami atau bapa yang ingkar dan lalai daripada
menunaikan kewajipan nafkah ini, maka pihak berwajib terpaksa
menyusun peraturan yang diharapkan dapat menangani masalah ini.
Berbagai langkah telah disusun termasuklah kursus-kursus perkahwinan
dan undang-undang yang digubal dan yang boleh dikuatkuasakan.
Berbagai bahagian dan pecahan undang-undang telah digubal bagi
mengawal dan mengatasi keingkaran atau kelalaian pihak suami atau
bapa daripada menunaikan nafkah. Ini adalah penyelesaian duniawi yang
dapat diikhtiarkan oleh manusia bagi menjamin kelangsungan hidup
pihak isteri dan anak-anak dalam keadaan normal dan terbela keperluan
asasi mereka.

Namun, kadang-kadang ada suami atau bapa yang dapat mengelakkan diri
daripada menunaikan kewajipan nafkah ini kerana bijak mencari helah
dan mempergunakan sistem undang-undang yang ada. Tidak kurang juga
isteri dan anak-anak yang menderita tidak cukup pembiayaan hidup
selama tempoh menunggu keputusan mahkamah yang kadang-kadang memakan
masa yang lama. Walaupun mahkamah boleh membuat keputusan pihak suami
atau bapa mesti membayar nafkah atau jumlah pembiayaan terkebelakang,
namun keperluan isteri dan anak-anak yang asasi mesti ditangani pada
masanya tanpa boleh ditangguh. Daripada mana isteri dan anak-anak
hendak mendapatkan pembiayaan sebelum mahkamah membuat keputusan yang
memaksa suami menyerahkan pembiayaan tersebut. Makan minum, pakaian,
sewa rumah dan keperluan sekolah anak tidak boleh ditangguhkan.
Setiap hari isteri dan anak-anak perlu makan, pakaian dan tempat
tinggal tanpa boleh ditangguhkan.

Oleh itu suami atau bapa perlu diperingatkan bahawa walaupun dapat
mengelakkan diri atau menangguhkan tempoh memberi nafkah kepada
isteri dan anak-anak melalui proses mahkamah dunia, tetapi mereka
tidak dapat mengelakkan diri daripada perhitungan mahkamah akhirat
kerana ia termasuk dalam urusan duniawi yang diambil kira di mahkamah
akhirat. Perhitungan inilah yang jarang-jarang diambil kira oleh
suami atau bapa yang cuba melarikan diri daripada menunaikan
kewajipan membiayai keluarga.

Perlu diingat juga, oleh kerana membiayai keluarga atau memberi
nafkah ini adalah urusan agama yang akan diberikan ganjaran pahala
apabila menunaikannya dan diberikan balasan dosa jika mengabaikannya,
maka hawa nafsu, iblis dan syaitan akan sentiasa campur tangan
menghalang suami atau bapa daripada menunaikannya. Tujuan iblis dan
syaitan ialah supaya suami atau bapa ternganga di hadapan Hakim yang
Maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi di mahkamah padang
mahsyar kelak.

Justeru itu, suami dan bapa perlu meneguhkan persepsi dalam fikiran
bahaya memberi nafkah kepada tanggungan adalah satu bentuk ujian
Allah bagi melihat ia dilalui dengan jaya atau tidak. Dalam konteks
mendekatkan diri kepada Allah dan mensucikan jiwa, usaha mencari
rezeki untuk memberi nafkah keluarga adalah peluang keemasan untuk
suami atau bapa mendekatkan diri dan mencari keampunan Allah apabila
ia ditunaikan dengan ikhlas, bukan dalam keadaan terpaksa dan
merungut apabila diperintahkan oleh mahkamah syariah di dunia.

No comments:

Post a Comment